Friday, June 3, 2011

~Perpisahan~



‘Perpisahan seharusnya dihantar dengan kegembiraan, bukannya kesedihan. Kerana setiap pertemuan itu pasti akan di akhiri dengan perpisahan. Itu sudah tertulis!

Alhamdulillah. Satu ungkapan syukur yang tidak terhingga.
Akhirnya tamat juga pengajian saya. Rasa tidak percaya menyelubungi diri seperti biasa. Terasa masa berlalu begitu pantas tanpa sedar. Sedar-sedar sahaja sudah selangkah di hadapan. Sedangkan kaki baru sahaja mahu melangkah.
Setiba di kolej selepas penat bertarung di medan SUKOB, saya bermalam sehari. Keesokan harinya baru saya pulang ke rumah.
Kepulangan kali ini paling menyedihkan. Tidak dapat dihitung berapa kali saya ‘menghujankan diri’ dalam sebak. Boleh dikatakan pertama kali air mata mengalir deras di hadapan khalayak.
Fuh..berselang-seli aktiviti wajib itu berulang setiap kali ada rakan yang mahu melangkah keluar dari tempat yang penuh kenangan ini.
Mengenangkan kenangan kami selama tiga tahun. Bukan mudah ingin melepaskan saat-saat suka duka yang dikongsi selama tempoh yang bermakna ini.
Kami redha. Jodoh pertemuan itu ketentuan Dia Yang Esa.
Ya Allah, berikanlah kemanisan buat kami semua dengan kenagan yang ada. Temukanlah kami dengan rakan-rakan yang persis rakan di sini. Agar terubat hati ini dari terus menerus merindui mereka. Ya Allah permudahkanlah laluan kami nanti. Tunjukkanlah jalan yang terbaik buat kami semua. Amin Ya Rabbal a’lamin.
Saat-saat kepulangan saya seakan-akan terasa seperti mahu melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dihantar, dilambai dan ditangisi. Saya berlagak cool dan menahan takungan yang seakan-akan hanya menunggu saat-saat melimpah dari kelopak mata ini. Saya sebak. Dalam hati hanya Dia yang tahu!
Pandangan terakhir saya larikan awal-awal. Takungan tadi akhirnya melimpah jua. Hilang daya tahan benteng kelopak ini. Bagaikan bengkak hati ini di tumbuk bertubi-tubi. Apalah daya rasa di hati ini yang tidak terbendung dari sebak yang mendalam. Saya tenggelam dan hanyut dengan kenangan bersama mereka.
Saya alihkan perhatian pada pemandangan di luar tingkap.
Sunyi.
Hanya kedengaran bunyi enjin dan kenderaan di luar bas. Kadang-kala saya terlelap kerana kepenatan.
Setiba di rumah saya terus ke bilik dan berehat sebentar. Rutin biasa setiba di rumah.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
p/s: Ditujukan khas buat semua rakan-rakan di KPTM Kuantan. Kenangan kita tidak akan luput dari ingatan ini. Doa untuk semua semoga berjaya dunia akhirat. Jaga diri, iman dan akhlak. InsyaAllah kita berjumpa lagi...^_^

3 comments: